Maszlee, Hitler Dan McLuhan

PELBAGAI pihak membuat analisis mengenai perletakan jawatan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan. Ada yang sanjung dan tidak kurang pula yang mengeji. Semalam, komen di laman sosial Maszlee lebih kurang sama banyak tidak seperti dahulu dihentam ‘kaw-kaw’.

Namun saya tertarik dengan kesimpulan yang dibuat oleh dua penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Madeline Berma dan Prof Dr. Hamidin Hamid dalam sebuah bual bicara di stesen televisyen. Mereka menyimpulkan bahawa kegagalan Maszlee adalah disebabkan kelemahan komunikasi.

Prof. Madya Dr. Madeline Berma

Bagi mereka, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu telah melakukan transformasi yang besar dalam pendidikan negara. Namun semua itu tidak disedari disebabkan ‘terlindung’ dengan perkara-perkara sensasi dek kerana kurang kemahiran ‘bermain’ dengan media.

Dalam satu perbualan tertutup, seorang Exco Pemuda UMNO Malaysia turut memuji Maszlee. Beliau menyifatkan ahli akademik itu telah melakukan perkara yang betul dan perubahan dalam pendidikan negara.

Namun tidak ramai yang ingat perubahan dan perkara-perkara yang betul dilakukan oleh Maszlee. Ramai yang hanya ingat ‘Menteri Kasut Hitam’. Niat yang baik untuk memberikan sarapan pagi kepada seluruh pelajar sekolah rendah juga kena pusing habis-habisan oleh warganet.

Jika diukur kepada prestasi, Maszlee bukan pemimpin pertama yang harus meletakan jawatan. Banyak lagi menteri yang karut dan tidak boleh pakai. Tetapi mereka adalah ahli politik yang tahu memanipulasi dan menggunakan komunikasi sebagai senjata.

Ini juga pengajaran kepada golongan akademia yang ingin ‘terjun’ ke dalam dunia politik. Golongan akademia selalu gagal di pentas politik kerana mereka terlalu ‘betul’ dan sentiasa bercakap ‘benar’ sehingga tidak peduli apa yang orang lain rasa.

Maka tulisan ini bukan untuk mencari salah Maszlee tetapi mahu memberitahu peri penting komunikasi dan media propaganda dalam politik.

Kesilapan pertama beliau sejurus selepas dilantik sebagai Menteri Pendidikan ialah berperang dengan media. Maszlee menyalahkan media mengenai isu kasut hitam dan beliau terus mengulangi kesilapan yang sama termasuk ketika sidang media terakhirnya sebelum meletakkan jawatan. Beliau tidak memahami konsep asas nilai berita dan paling utama, kegilaan tentera bawang.

Kedua, Ahli Parlimen Bersatu itu menghalang Utusan Malaysia yang membawa suara orang Melayu ke sekolah-sekolah. Malah wartawan di Utusan Malaysia juga masak dengan perangai Maszlee yang tidak boleh dikritik.

Jika dikritik telefon pasti berdering, dan pegawainya mengarahkan supaya tulisan tersebut ditarik balik. Dan mengugut Kemenerian Pendidikan tidak akan memberikan sebarang iklan kepada Utusan Malaysia. Difahamkan sehingga Utusan ditutup kementerian itu tidak menarik balik sekatan dan tidak memberikan iklan. Maszlee sepatutnya menjawab kritikan dengan hujah dan fakta bukannya ugutan.

Ketiga, meletakan mukanya di papan tanda besar ditengah-tengah kekalutan untuk mempertahankan dirinya sehingga dikritik oleh penasihat media kerajaan, A. Kadir Jasin. Penasihat media Maszlee tersalah memilih propaganda sehingga memakan diri.

Kumpulan penasihat ini juga mengadakan kempen untuk mengekalkan Maszlee sehingga pernah satu ketika, secara tiba-tiba banyak pihak mengeluarkan komen menyokong Maszlee dalam masa satu hari dihampir kesemua media. Mereka yang membuat kenyataan ini seolah-olah diarahkan berbuat demikian. Cara ini tidak tepat dan menimbulkan banyak syak wasangka.

Mereka sepatutnya lebih banyak membaca dan mengkaji Mein Kampf, kisah hidup bapa propaganda, Adolf Hitler.

Kata Hitler; “Menggunakan propaganda dengan bijak dan betul akan menyebabkan orang melihat syurga sebagai neraka dan begitulah sebaliknya.”

Komunikasi adalah penting. Propaganda adalah sebahagian daripada komunikasi. Jangan pandang remeh kepada komunikasi dan hanya yang berpengalaman mampu mengendalikannya apatah lagi dalam zaman yang serba serbi terbuka dengan tentera bawang menyerang ikut suka hati tanpa usul periksa.

Maka disebabkan itu sekolah-sekolah komunikasi dibuka. Kajian yang mendalam dilakukan dalam bidang ini.

Ahli falsafah Canada, Marshall McLuhan menyebut politik berjaya kerana propaganda. Ia bukan semata-mata mesej atau ideologi namun kesan ke atas teknologi yang merentas zaman.

Namun komunikasi bukan hanya teori tetapi bagaimana untuk mengamalkanya. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *