Arak, dadah dan judi online menghantui penduduk Kuala Tahan

JERANTUT 3 Jan. – Penduduk Kampung Kuala Tahan, di sini resah dengan aktiviti penjualan arak, penyalahgunaan dadah dan judi online yang semakin berleluasa.

Kegiatan tidak bermoral yang menular sejak beberapa tahun lalu itu semakin menghantui penduduk kampung.

Bagi mengelak lebih ramai golongan muda yang terjebak dengan gejala sosial, penduduk kampung hari ini mengadakan satu bantahan selepas selesai solat Jumaat di Masjid Kuala Tahan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan, Mohamad Baki Awang Ngah berkata, pihaknya melakukan bantahan ekoran tidak senang duduk dengan senario sekarang apatah lagi kampung mereka merupakan pintu masuk ke Taman Negara Kuala Tahan.

“Terdapat beberapa premis yang terlibat dan kami mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik yang bukan beragama Islam itu.

“Hampir 90 peratus penduduk di sini beragama Islam jadi kami tidak mahu ketiga-tiga gejala ini merosakkan akidah penduduk,” katanya hari ini.

Menurutnya, ramai pelancong datang setiap tahun terutama dari luar negara dan gejala tersebut akan merosakkan nama baik Taman Negara Kuala Tahan sekiranya premis terbabit dibiarkan terus beroperasi.

“Kami sebulat suara membantah sekeras-kerasnya aktiviti yang tidak bermoral dan semua pihak harus selamatkan pusat pelancongan ini daripada segala gejala negatif,” jelasnya. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *