JERANTUT 2 Jan. – Aktiviti menangkap ikan secara haram yang berlaku di sekitar Taman Negara Kuala Tahan, di sini bukanlah satu senario baharu.
Kejadian terbaru 28 Disember lalu yang dipercayai berlaku di Hulu Sungai Pengau, Kampung Pagi ternyata mengundang kemarahan penduduk tempatan apabila banyak ikan mati akibat dituba oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kejadian tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada penduduk tempatan malah mampu menjejaskan industri pelancongan di kawasan terbabit.
Pengurus Pelanggan, Mutiara Taman Negara, Sabri Abdullah berkata, agensi yang terlibat terutama Jabatan Perikanan dan pihak polis perlu melakukan siasatan terperinci.
“Kejadian ini amat serius kerana ramai pelancong yang datang ke Taman Negara Kuala Tahan untuk memancing ikan air tawar.
“Kita mahu mereka yang terlibat dikenakan hukuman setimpal ekoran kerakusan mereka menangkap dengan kaedah yang salah sehingga menyebabkan banyak spesis yang mati,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan, penduduk kampung telah membuat laporan polis dan kes tersebut sedang disiasat oleh pihak berkuasa.
Pada 30 Disember lalu, tular di media sosial mengenai kehadiran dua pacuan empat roda yang mencurigakan di sungai berkenaan.
Penduduk kampung telah melihat sekumpulan individu menangkap ikan secara haram dan banyak ikan-ikan lain yang mati akibat perbuatan tersebut. – UT