Wanita Orang Asli lahir bayi pramatang

GUA MUSANG 1 Jan. – Seorang wanita Orang Asli yang melahirkan bayi perempuan pramatang di rumahnya di Kampung Tendrik, Pos Bihai, di sini dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut, hari ini.

Sima Pandak, 19, yang mengandung enam bulan selamat melahirkan anak pertamanya kira-kira pukul 2 petang sebelum helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba pada pukul 4.12 petang.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gombak untuk melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac).

Katanya, krew Agusta Westland 189 melakukan penerbangan dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 2.51 petang.

“Helikopter berlepas ke Kampung Tendrik untuk mengambil bayi bersama ibunya sebelum mendarat semula di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 4.40 petang.

“Kita turut membawa dua jururawat bersama alat bantuan pernafasan untuk membantu  bayi Orang Asli bersama ibunya itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Farhan, ibu muda bersama bayinya itu kemudiannya dikejarkan ke hospital dengan menggunakan ambulans.

Katanya, selepas memastikan wanita bersama bayi itu berada dalam keadaan selamat, anggotanya berlepas pulang ke Pangkalan Udara Subang pada pukul 5.49 petang. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *