Angkut pelajar Orang Asli guna kenderaan pacuan empat roda

GUA MUSANG 1 Jan. – Seramai 1,081 murid dan pelajar Orang Asli dari 12 buah pos pedalaman di daerah ini berjaya dibawa keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk memulakan sesi persekolahan baharu hari ini.

  Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, semua pelajar berkenaan telah dibawa keluar secara berperingkat sejak semalam.

Katanya, pelajar berkenaan telah dibawa keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk ke sekolah yang terletak di sekitar bandar ini.

“Kami menerima maklumat daripada pihak pengangkutan yang dilantik bahawa usaha mengambil pelajar berjalan lancar walaupun keadaan jalan balak rosak teruk akibat hujan lebat di kawasan pedalaman baru-baru ini.

“Tiga tahun sebelum ini, setiap kali awal persekolahan kita terpaksa mengangkut keluar pelajar terbabit menggunakan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kerana masalah jalan perhubungan terputus,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Hashim Alang, mengikut rekod Jakoa, seramai 511 orang pelajar yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 1 (SMKTIP 1) dan SMKTIP 2, SMK Bandar Chiku, SMK Sri Wangi dan SMK Tengku Bendahara.

Katanya, baki 570 orang lagi murid sekolah rendah termasuklah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai, SK Tohoi, SK Balar, SK Brooke, SK Sri Permai,  SK Pulat, SK Blau dan SK Kuala Betis.      

“Semua pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah itu ditempatkan di asrama yang disediakan di sekolah masing-masing.

“Jakoa sentiasa mengambil berat mengenai pendidikan anak Orang Asli supaya mereka tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya. – UT

About Post Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *