Tinta Pengarang : Permulaan baharu untuk ke hadapan

Tahun baharu muncul. 2020 agak istimewa. Angkanya unik. Seluruh rakyat Malaysia menantikan tahun ini. Wawasan 2020. Rancangan jangka panjang Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia negara maju. Bagaimanapun perancangan yang dilancarkan pada tahun 1991 tidak menjadi kenyataan.

Dari segi mata kasar, Malaysia sememangnya sudah berubah. Bangunan sudah mencakar langit. Bentuknya juga cantik-cantik, ada yang condong, ada yang separuh bulat dan ada yang macam pucuk rebung. Malah sudah ada kereta api bergerak di atas dicelah-celah bangunan. Yang tiada cuma kereta terbang.

Mudah kata imiginasi kanak-kanak ketika itu termasuk saya sudah hampir menjadi kenyataan. Namun itu semua belum cukup syarat untuk menjadi negara maju.

Tahun 2019 banyak perkara yang berlaku. Perubahan lanskap politik negara memberikan kesan yang amat besar. Kekalutan masih belum dapat diredakan.

Dan tahun lalu juga menjadi detik pahit untuk warga Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. Akhbar yang menjadi lidah orang Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1938 berkubur tanpa nisan pada 9 Oktober 2019. Macam-macam cerita dan alasan kenapa syarikat ini berkubur.
Tetapi biarlah begitu. Tidak perlu diulas lagi. Saya bersama rakan-rakan menelannya walaupun pahitnya lebih daripada hempedu. Apa yang penting kini adalah melihat ke hadapan. Kami bekas wartawan Utusan Malaysia perlu terus menyumbang untuk anak bangsa. Perjuangan tiada titik noktah.

Justeru, saya bersama rakan-rakan bekas wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo! di wilayah Pantai Timur yakni Kelantan, Terengganu dan Pahang bertekad untuk terus menjadi lidah rakyat. Kami mahu maklumat dari negeri-negeri ini dapat disampaikan kepada seluruh penghuni tanah semenanjung dan seluruh dunia. Kami mahu menjadi mata telinga kepada rakyat Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Kami memulakan wadah baru yang dipanggil Utusan Timur. Nama Utusan sengaja dikekalkan untuk kami terus menyerap rohnya. Perjuangan Utusan amat panjang daripada sebelum merdeka sehingga membina sebuah negara yang digeruni dan digelar Harimau Asia. Kami lakukan ini semua dengan percuma kecuali ada ihsan daripada pembaca yang ingin membantu.

Pun begitu tanpa sokongan semua Utusan Timur tidak akan mampu bertahan. Nasibnya juga akan menjadi seperti Utusan Melayu. Kami mencuba. Kami tidak mahu berjanji bulan dan bintang tetapi dengan izin Allah kami akan berusaha yang terbaik untuk menyampaikan maklumat untuk pembaca dengan cara yang baharu dan wadah yang berbeza. Berkongsi dengan kami di laman facebook dan instagram Utusan Timur atau email kami di utusanpantaitimur@gmail.com.

Semoga usaha kita semua diberkati Allah dan Malaysia terus aman makmur.

Selamat Tahun Baharu 2020

AZRAN FITRI RAHIM
(Adalah bekas Ketua Biro Utusan Malaysia Kelantan)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *