Lebuh raya KLK siap sedia sepenuhnya bagi pelaksanaan RFID mulai 1 Januari 2020

Oleh SHOFI ISA

KUANTAN 31 Dis. – Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan kutipan tol menggunakan teknologi RFID di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong mulai 1 Januari 2020.

Justeru, pengendali Lebuh Raya KLK, ANIH Berhad menjangkakan kira-kira 10,000 transaksi RFID sehari bakal direkodkan di dua plaza tol berkenaan pada tahun pertama pelancarannya berbanding 5,000 transaksi RFID sehari yang dicapai dalam tempoh percubaan bagi pelaksanaan projek perintis sistem berkenaan.

Ini sekali gus dilihat membuka lembaran baharu ke arah membantu melancarkan lagi aliran trafik di dua
plaza tol berkenaan.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein berkata, persediaan rapi telah dibuat untuk memastikan laluan yang dilengkapi mod bayaran RFID di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong bersedia dengan sistem kutipan baharu itu.

“Pelaksanaan kutipan tol menerusi mod RFID di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong ini selaras dengan sokongan kami ke arah pelaksanaan Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti (MLFF) di lebuh raya di negara ini

“Ia juga merupakan aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kualiti khidmat bayaran tol untuk pengguna dinmasa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bermula 1 Januari ini, kaedah pembayaran tol menerusi mod RFID hanya ditawarkan di
62 buah plaza tol seluruh negara yang menggunakan kaedah sistem tol terbuka. Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong di Lebuh Raya KLK adalah satu daripadanya.

Kutipan tol menerusi RFID di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), iaitu sebuah lagi lebuh raya kendalian ANIH Berhad yang menggunakan kaedah sistem tol tertutup pula dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2020.

Sebagai pengendali lebuh raya antara yang paling sibuk di negara ini, Nik Fauzi berkata, ANIH Berhad turut memastikan kesemua kakitangannya bersiap sedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan bagi membantu pengguna membuat bayaran dengan penggunaan teknologi RFID itu.

“Lebuh Raya KLK merupakan lebuh raya utama yang menghubungkan ibu negara dengan negeri-negeri di pantai timur dan ia akan menjadi sesak terutamanya pada musim cuti sekolah dan musim perayaan.

“Mengambil contoh pada perayaan Tahun Baru Cina yang lepas, purata harian pengguna di Lebuh Raya KLK pada waktu puncak meningkat sebanyak 73 peratus kepada 159,010 buah kenderaan sehari berbanding sejumlah 91,923 buah kenderaan pada hari biasa.

“Bagi mempersiapkan syarikat untuk berdepan peningkatan jumlah kepadatan kenderaan di lebuh raya serta untuk menyenangkan pengguna membuat transaksi pembayaran tol, syarikat melihat pelaksanaan RFID ini tepat pada masanya kerana ia boleh membantu mempercepatkan lagi proses bayaran tol seterusya mengurangkan kesesakan di Plaza Tol Gombak dan Bentong, khususnya pada musim perayaan,” katanya.

Nik Fauzi dalam pada itu berkata, untuk tempoh percubaan bagi projek perintis RFID sehingga hari ini, syarikat telah merekodkan sejumlah 151,238 pengguna RFID di Lebuh Raya KLK dan jumlah itu dijangka akan meningkat sejajar dengan peningkatan maklum balas positif kesan daripada faedah yang ditawarkan menerusi mod RFID. – UT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *