2020 : Terengganu tekad teruskan anjakan paradigma

KUALA TERENGGANU 31 Dis. – Kerajaan Pas Terengganu bertekad untuk terus melakukan anjakan paradigma dalam memacu kecemerlangan negeri di samping memenuhi keperluan rakyat, pada tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, lembaran 2019 bakal menjadi sejarah yang memberi pengalaman berharga sebagai penanda aras untuk menilai sejauh mana usaha yang telah dilakukan dalam menjayakan agenda rakyat.

Bagaimanapun, katanya, di sebalik kemajuan yang dicapai dalam Bajet Terengganu 2019 yang memanfaatkan kira-kira 1.25 juta penduduk, masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki untuk memastikan keperluan dan kehendak rakyat dapat direalisasikan.

“Tahun 2020, saya menyeru kita semua bermuhasabah sebelum melakar segala perancangan dan meletakkan suatu matlamat bagi tahun yang mendatang.

“Harapan saya agar kerajaan negeri terus dapat melakukan anjakan paradigma. Tiada apa yang lebih menggembirakan selain dapat memenuhi keperluan rakyat. Ini bukanlah suatu perkara yang mudah namun tidak boleh sekali dijadikan alasan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan Tahun Baharu 2020 di laman Facebook rasminya hari ini.

Ahmad Samsuri turut berkongsi kejayaan Pas Terengganu
melaksanakan sebahagian besar daripada 20 manifesto yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah hasil sinergi antara pemimpin dan rakyat yang menjadi kunci kepada kejayaan dan kesejahteraan negeri pada hari ini.

Dalam catatan itu, beliau bangga dengan kejayaan ramai anak Terengganu yang mengharumkan nama negeri dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, keusahawanan dan sukan.

Di samping itu, katanya, kerajaan negeri akan terus menjalinkan hubungan antarabangsa dengan beberapa negara luar yang boleh memberi nilai tambah kepada Terengganu dalam merancakkan pelaburan, mempergiatkan pelancongan dan menyuburkan pendidikan sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi.

“Tahun 2019 turut mengukir sejarah apabila termeterainya Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lalu melibatkan dua parti terbesar di Malaysia.

“Kerjasama politik ini cenderung mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara khususnya dalam konteks memacu negeri Terengganu, ” katanya. – UT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *