Saarvindran perkuat TFC

RMS

KUALA TERENGGANU 26 Dis. – Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), D. Saarvindran memperkuat skuad Terengganu FC (TFC) dalam menghadapi saingan Liga Malaysia pada tahun depan.

TFC dalam satu kenyataan berkata, pemain berusia 27 tahun itu menandatangani kontrak selama setahun bersama pasukan Penyu bagi musim Liga Super 2020 dengan bermain di posisi sayap kanan/kiri.

Saarvindran yang berasal dari Klang, Selangor pernah mewakili Harimau Muda, Pahang dan JDT II sebelum menyertai TFC.

Sementara itu, Ketua Jurulatih TFC, Mohd. Nafuzi Mohd. Zain berkata, keputusan untuk menggunakan khidmat Saarvindran dibuat berdasarkan penelitian selama dua minggu pemain tersebut terlibat dalam latihan bersama skuad Penyu di samping beberapa perlawanan persahabatan.

“Saya harap dia mampu mempamerkan prestasi sama semasa mewakili beberapa pasukan terdahulu iaitu Harimau Muda, Pahang dan JDT II.

“Dia juga memberi lebih pilihan pemain kepada saya di posisi sayap untuk musim Liga Super 2020,” katanya.

Terdahulu, TFC turut mengikat pemain tengah kebangsaan, Faiz Mohd. Nasir; bekas kapten Perak, Nasir Basharuddin dan Arif Fadzillah Abu Bakar (bekas pemain FELDA United).

Manakala tonggak import pula, Dominique Da Sylva dari Mauritania, pemain kelahiran Senegal, Babacar Diallo di samping pemain kelahiran Singapura, Faris Ramli selain mengekalkan dua pemain import sedia ada dari England, Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov dari Uzbekistan. – UT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *