Kanak-kanak lemas di Sungai Sekayu

HULU TERENGGANU 26 Dis. – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas ketika mandi-manda di Sungai Sekayu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Nur Iman Afiq Roshaizad dari Kampung Kuala Menjing di sini dikatakan datang ke lokasi berkenaan bersama bapa saudara dan dua sepupunya yang tinggal di Pulau Pinang.

Mayat pelajar Sekolah Kebangsaan Cheting itu ditemukan timbul di permukaan air oleh bapanya, Roshaizad Mamat ketika operasi mencari dan menyelamat oleh sekumpulan penduduk kampung pada pukul 12.10 tengah hari.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, selepas 30 minit mandi-manda di sungai berkenaan, mangsa bersama dua sepupunya yang berusia 10 dan 14 tahun dilaporkan tenggelam akibat terpijak pasir jerlus ketika kesemua mereka hendak naik ke tebing.

“Muhamad Nur Fikri Mohd. Danial, 10, berjaya menarik tangan kiri mangsa, manakala tangannya pula dipegang abangnya, Muhamad Hakimi, 14.

“Bagaimanapun, genggaman tangan mangsa terlepas lalu terus tenggelam. Bapa saudara mangsa yang berada di seberang sungai berusaha mencari kanak-kanak lelaki itu namun gagal,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Mohd. Adli, siasatan mendapati air sungai mengalir agak deras dengan bahagian sebelah kirinya yang berdekatan tempat kejadian merupakan kawasan berpasir.

Katanya, lokasi kejadian yang jaraknya kira-kira 4.5 meter dari tebing sungai itu turut dikesan berselut dan berpasir di samping terdapat putaran air dengan kedalaman 2.1 meter.

Mayat Nur Iman Afiq kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans dan pemeriksaan mendapati mangsa maut akibat lemas. – UT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *