KUALA TERENGGANU – Fenomena yang disebut gerhana matahari cincin atau dalam istilah astronomi dipanggil Anulus dapat disaksikan seluruh masyarakat dunia termasuk di Malaysia hari ini.
Kali terakhir fenomena alam itu berlaku kira-kira 21 tahun yang lalu di Mersing, Johor pada 22 Ogos 1998.
UPT tertarik dengan gambar yang sempat dirakamkan seorang bapa, Azlan Bahrum ketika membawa ketiga-tiga anaknya menyaksikan gerhana matahari cincin di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini.
Dengan menggunakan kamera Sony mirrorless a6000, Azlan merakamkan gambar bayang-bayang berbentuk bulan sabit pada wajah Awatif Nur Adawiyah, 5, ketika kemuncak fenomena itu pada pukul 1.19 petang tadi.
Gambar sama turut dirakam pada wajah anak bongsunya, Awfiyah Nur Umairah.
Azlan yang berpengalaman dalam bidang fotografi turut berkongsi gambar gerhana matahari yang dirakamkan menggunakan kamera Nikon D5 70-200mm dengan filter ND 400. – UT